Friday, 2 December 2011

PERKEMBANGAN SENI KANAK-KANAK

 

1.1 KANAK-KANAK DAN SENI VISUAL
       Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja seni visual yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.

1.2 KEPENTINGAN PENGAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL KEPADA KANAK-KANAK
(a) Aspek Kognitif
    Penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

(b) Aspek Fizikal
       Penggunaan alat dan bahan memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta merta.
(c) Aspek Kreativiti
      Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam pendidikan seni visual mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir.

(d) Aspek Persepsi
    Murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria melalui proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

(e) Aspek Sosial dan Emosi
    
Murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk.

1.3 KANAK-KANAK DAN SENI LUKIS

(a) Melukis sebagai Medium Komunikasi
     Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi.

(b) Melukis sebagai Cara Mencapai Kepuasan Diri
     Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.

(c) Melukis untuk Meningkatkan Daya Penguasaan Kendiri (Self Esteem)
      Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.

No comments:

Post a Comment