Apresiasi Hasil Kerja Murid-Murid

Panduan kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran pendidikan seni visual di sekolah .

         Salah satu elemen penting dalam pengajaran Seni Visual di sekolah ialah apresiasi. Ianya biasa dilakukan pada penghujung pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil masa lebih kurang 10 minit. Dalam ruang apresiasi ini murid dan guru akan berbincang tentang hasil karya yang telah dihasilkan oleh murid di dalam kelas. Oleh itu, setiap kali P&P Pendidikan Seni Visual dijalankan murid seharusnya menyiapkan kerja itu di dalam kelas. Guru pula perlu merancang agar P&P itu dapat dijalankan dengan sempurna dalam masa yang ditetapkan.
      Ada pelbagai kaedah apresiasi yang boleh dilakukan oleh guru. Sebagai contoh, tajuk pada hari itu ialah topeng muka. Dalam sesi apresiasi guru boleh menyuruh murid untuk melakonkan watak yang sesuai dengan topeng yang dihasilkan. Guru juga boleh menyelitkan dengan unsur nyanyian dan sebagainya.
         Salah satu kaedah yang boleh dibiasakan ialah di mana guru menyuruh murid mempamerkan hasil kerja mereka di hadapan kelas. Guru perlu menyediakan satu ruang di hadapan kelas untuk mempamerkan hasil kerja mereka dengan cara menampal atau menggantung hasil kerja. Selain itu, guru juga boleh memilih murid secara rawak ke hadapan untuk bercerita tentang pengalaman murid dalam menjalankan aktivti pada hari itu. Di sini murid boleh menilai hasil kerja rakan-rakan. Biasakan juga murid dengan menggunakan laras-laras bahasa seni seperti cantik, garis, ruang dan sebagainya.
     Dalam sesi apresiasi ini juga guru boleh terus memberi markah kepada murid atau murid sendiri memberi markah kepada diri mereka dan rakan melalui pemerhatian mereka. Dalam keadaan ini guru lebih bertindak sebagai moderator sahaja. Guru perlu mengawal murid agar tidak berlaku perkara yang tidak baik atau perkataan yang mungkin boleh menyinggung perasaan orang lain.
       Sebenarnya ada banyak kaedah yang boleh diaplikasi dalam sesi apresiasi ini. Jelas sebenarnya dengan adanya sesi apresiasi akan melatih murid dalam berkomunikasi dan menilai. Memang untuk memulakannya agak susah kerana kita sudah dibiasakan dengan cara lama iaitu selepas kerja siap murid menghantar kerja dan guru menyemak di bilik guru atau dirumah.
     Akhir kata, diharapkan guru-guru yang mengajar mata pelajaran pendidikan seni visual di sekolah akan mencapai objektif PSV dalam melahirkan murid yang kreatif, inovatif dan berketerampilan.